RAUB: Seorang warga emas yang memakai gelang merah jambu dari Kampung Sungai Klau,di sini dikompaun RM5,000 kerana melanggar kuarantin kendiri di rumah dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Lelaki berusia 73 tahun itu memberikan alasan panas berada di rumah untuk keluar bersiar-siar walaupun dalam tempoh kuarantin.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, lelaki tersebut dikompaun menerusi operasi penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12.30 tengahari hingga 2 petang pada Rabu.

Menurutnya, alasan tersebut tidak munasabah dan boleh merebakkan jangkitan Covid-19 kepada orang ramai sekiranya warga emas terbabit positif wabak itu.

"Lelaki itu dikenakan kompaun di bawah Perkara 22(b) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2020.

"Selain itu dua lagi individu berusia 69 dan 52 tahun dikenakan kompaun RM2,000 seorang atas kesalahan berkumpul dan makan di kedai dalam kawasan PKPD tanpa alasan munasabah," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Kama Azural berkata, dua individu yang masing-masing dari Kampung Sungai Klau dan Taman Sungai Klau dikenakan kompaun di bawah Perkara 25(a) PPPDPPB 2020.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.