Seluruh warga Universiti Malaya (UM) merafak sembah takziah atas kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang juga Canselor UM tengah hari tadi.

Dalam satu kenyataan media, pihak universiti berkata kemangkatan baginda adalah kehilangan besar buat warga UM berikutan jasa tidak ternilai Tuanku sepanjang 28 tahun menjadi Canselor UM semenjak 8 Februari 1986.

“Selaku Canselor ketiga UM, Tuanku banyak menyumbang buah fikiran serta tenaga dalam perkembangan UM dan memartabatkan universiti ulung ini sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia.

"Tuanku amat dikenali sebagai seorang Raja berjiwa rakyat, berhemah tinggi dan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan warga UM.

“Sebagai tanda berkabung, semua bendera di dalam kampus akan dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari bermula hari ini,” kata kenyataan berkenaan.