NEW DELHI: Wartawan dari Pakistan Arshad Sharif dilaporkan terbunuh di Kenya akibat ditembak.

"Hari ini saya kehilangan kawan, suami dan wartawan yang saya minati, menurut polis beliau ditembak di Kenya," kata isterinya Javeria Siddique menerusi Twitter pada Isnin.

Insiden itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan wartawan dan aktivis di Pakstan.

Dalam rancangan televisyen dan media sosial, beliau sering mengkritik cara bekas Perdana Menteri Imran Khan digulingkan pada April.

"Terkejut dengan pembunuhan kejam Arshad Sharif...Dia terpaksa meninggalkan negara itu dan bersembunyi di luar negara tetapi tetap lantang bersuara di media sosial. Hari ini seluruh negara berdukacita dengan pemergiannya," kata Imran.

Saluran televisyen ARY pada Ogos lalu mengumumkan sudah tidak lagi bersama Arshad Sharif selepas lapan tahun bekerja di bawah satu bumbung.

Sebelum itu, Arshad Sharif meninggalkan Pakistan kerana bimbang keselamatannya.

Wartawan berusia 49 tahun itu satu daripada nama paling popular di Pakistan.

"Pemergian Arshad Sharif satu kehilangan besar kepada kewartawanan dan Pakistan. Semoga rohnya tenang dan semoga keluarganya termasuk pengikutnya tabah menghadapi dugaan ini," kata Presiden Arif Alvi.

-- BERNAMA