Para wartawan perlu sentiasa memantapkan diri dengan informasi semasa bagi menyampaikan maklumat yang betul kepada orang awam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, perkara itu akan menjadikan profesion kewartawanan suatu yang terpuji dan melayakkan para pengamal media ini digelar ‘The Fourth Estate’.

Menurutnya, kerjaya kewartawanan itu tidak dapat disamakan dengan profesion lain kerana tugas wartawan memerlukan mereka berkorban bukan sahaja masa tetapi keringat dan kudrat untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Mereka tidak mempunyai pakaian seragam tetapi mereka adalah pendita mendidik rakyat.

“Kewartawanan memerlukan pengorbanan, minat dan jiwa yang kental. Malah cercaan, dihalang membuat liputan serta menerima panggilan lewat malam dari majikan (editor) merupakan sebahagian daripada rutin seorang wartawan.

“Dengan itu saya berharap tidak terlambat bagi saya mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional kepada seluruh wartawan Malaysia yang semakin bertambah tugasan menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) ini,” katanya menerusi kenyataan media malam Rabu.