MALAYSIA
Waspada program motivasi metafizik tidak berasaskan Islam - JAIS

Menurut JAIS, ahli sufi Sunnah Wal Jamaah berteraskan al-Quran, sunnah dan turath ulama muktabar merupakan jalan sebenar yang perlu dipilih dalam memenuhi keperluan kerohanian umat Islam.
SHAH ALAM: Umat Islam diingatkan berwaspada dan tidak terjebak dengan program motivasi berunsur metafizik yang tidak berasaskan ajaran Islam yang sahih.
Ringkasan AI
- JAIS mengingatkan umat Islam agar berwaspada terhadap program motivasi yang mengandungi unsur metafizik dan fahaman Gerakan Era Baharu (New Age Movement).
- Fahaman ini menyusup melalui rawatan alternatif, pembangunan diri dan spiritual, dan boleh merosakkan akidah.
- Bergiat aktif dalam industri motivasi sama ada sebagai penganjur, penceramah atau peserta bukan satu kesalahan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
"Pendekatan psikospiritual dalam tasawuf yang melibatkan amalan seperti tazkiyah al-Nafs, zikir, muqarabah serta pengenalan terhadap maqam kerohanian adalah alternatif yang seimbang dan sah untuk menangani kekosongan jiwa manusia moden.
"Ia tidak hanya menjaga akidah tetapi juga mendidik jiwa agar kembali kepada Allah dengan penuh adab dan rasa kehambaan," katanya ketika berucap merasmikan Diskusi Isu Semasa: Pendedahan Gerakan Era Baharu dalam Motivasi Islam di sini hari ini.
Siti Razmah berkata jika tidak berwaspada, masyarakat boleh terjebak dengan program motivasi berunsur metafizik yang tidak berlandaskan ajaran Islam sebenar yang kini menular dalam kursus atau program pembangunan kendiri.
"Sebahagian program motivasi kini telah diserap dengan unsur luar yang telah merosakkan program motivasi itu sendiri seperti fahaman New Age Movement yang menyusup dalam masyarakat Islam melalui platform motivasi, pembangunan diri, spiritual dan rawatan alternatif.
"Gerakan ini membawa unsur bercanggah dengan akidah Islam seperti 'pantheisme', reinkarnasi, pluralisme agama, penyelewengan wahyu serta syariat, dan lebih membimbangkan ia turut menyasarkan belia serta pelajar," katanya.
Siti Razmah berkata bergiat aktif dalam industri motivasi sama ada sebagai penganjur, penceramah atau peserta bukan satu kesalahan selagi tidak bertentangan dengan ajaran dan kehendak agama Islam.
Terdahulu, majlis itu menyaksikan pembentangan tiga kertas kerja iaitu 'Ciri-Ciri New Age Movement dan Penyusupannya Dalam Motivasi, Bahaya New Age Movement Terhadap Akidah Umat Islam dan Panduan Mengenali Motivasi Islam Yang Sebenar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami