KUALA LUMPUR: Buku “What’s in a Name” karya Bekas Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak akan dilancarkan pada 8 November 2021 dan boleh didapati di kedai-kedai buku utama di seluruh negara bermula esok.

Versi United Kingdom buku tersebut yang merupakan imbasan kembali pengalaman, peristiwa penting yang membentuk diri dan kehidupannya itu pula akan berada di pasaran pada 18 November nanti.

Menerusi satu kenyataan, Nazir meluahkan kegembiraan kerana cetakan pertama buku tersebut telah dibaca dan mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia daripada pelbagai generasi dan latar belakang.

“Ia merangkumi kisah-kisah keluarga, kerjaya, perniagaan dan politik di Malaysia. Bapa meninggalkan kami ketika saya berumur sembilan tahun, dan penulisan buku ini memberi saya peluang memahami Tun Razak sebagai seorang pemimpin dan individu.

BACA: Kisah Nazir Razak - What's in a Name

“Ia menyedarkan saya bahawa legasi paling utama beliau ialah nilai, prinsip dan kaedah yang beliau terapkan, ianya bersifat peribadi dan tidak nyata pada mata kasar.

“Sedangkan institusi, polisi atau program yang beliau laksanakan mungkin sesuai atau tidak untuk masa yang berbeza,” katanya menerusi kenyataan itu.

Menurutnya, beberapa isu lain turut disentuh dalam buku tersebut antaranya kepentingan konteks dalam membuat keputusan, cara memahami tindak laku orang lain dan pilihan sukar yang perlu dibuat, bukan sahaja sebagai sebuah negara malah sebagai individu.


Memoir | Nazir Razak bongkar kisah menerusi 'What’s in a Name'

“Saya mengimbau kembali keresahan saya berkaitan pelbagai peristiwa yang berlaku seperti semasa beberapa tahun pertama kerjaya saya di CIMB yang mencabar, usaha penggabungan perbankan dan krisis 1MDB.

“Di akhir buku ini, saya membuat analisa kritikal mengenai pergerakan ekonomi politik Malaysia, mengupas cabaran-cabaran yang melanda negara dan mencadangkan kerjasama yang diperlukan untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

“Saya berpandangan yang hala tuju masa depan yang lebih baik mungkin terletak pada masa lalu, dalam bentuk satu platform perundingan baru seperti Majlis Perunding Negara yang ditubuhkan pada 1970,” ujarnya.

BACA: What's in a Name: Sampai bila raksasa berkepala tiga akan ganggu Malaysia? - Nazir

Berikut merupakan antara kata-kata sokongan untuk “What’s in a Name”

a) "Hampir tiada siapa yang bersemangat dan berazam seperti Nazir untuk merealisasikan ideanya untuk membawa Malaysia ke hadapan. Buku ini patut diberi galakan dan sokongan." – Tun Musa Hitam, Mantan Timbalan Perdana Menteri

b) “Ini adalah buku yang perlu ditulis dan harus dibaca oleh semua rakyat Malaysia yang mengambil berat tentang negara.” – Tan Sri Andrew Sheng, Pengerusi, Institut Pengajian Terbuka dan Lanjutan George Town, Universiti Terbuka Wawasan

c) “Apa ada di sebalik nama? Dalam tradisi Melayu dan Islam, nama anak merupakan doa ibubapa. Mohamed Nazir bermaksud pengawas ataupun pemberi amaran dan buku ini mungkin menepati kedua-duanya sekali. Kita patut ambil ikhtibar.” – Tan Sri Azman Mokhtar, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional Berhad


Fokus Minggu Depan: Buku Nazir Razak dilancarkan minggu hadapan

d) “Saya tidak boleh dan tidak mahu meletakkan buku ini apabila mula membaca … saya mengesyorkan buku ini kepada setiap orang yang berminat tentang Malaysia.” – Dato’ Lim Chee Wee, Bekas Presiden Majlis Peguam Negara

e) "Buku ini merupakan rujukan karya agung tentang nilai-nilai korporat dan pentadbiran yang baik ... Bacaan yang cukup memukau." – Dato Hussamuddin Yaacub, Penerbit, Kumpulan Sinar Harian / Karangkraf

f) “Pada asasnya, cerita-cerita ini benar-benar memaparkan kisah pembangunan negara. Buku yang harus dibaca oleh setiap rakyat Malaysia.” – Tharma Pillai, Pengasas Bersama UNDI18