KUALA LUMPUR: Masa depan negara bukan bergantung kepada ilmu pengetahuan yang diketahui secara peribadi, tetapi melalui perkongsian ilmu tersebut serta bagaimana kepelbagaian dalam negara dimanfaatkan.

Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak dalam memoirnya, What’s in a Name berkata, semua pihak perlu mempunyai kebolehan untuk belajar dengan pantas ekoran perubahan dunia yang pesat.

Katanya lagi, perubahan pesat itu berlaku kerana Revolusi Industri 4.0 dan teknologi yang terhasil perlu digunakan untuk mengawal perubahan iklim selain mewujudkan cara baharu untuk bekerja.

“Golongan muda Malaysia akan bersifat ingin lebih mengetahui dan berani, sentiasa memandang ke hadapan, tidak gentar menggunakan tekonologi baharu untuk menangani cabaran dan peluang dalam perniagaan dan masyarakat.

“Ekonomi tidak lagi bergantung kepada penghasilan getah, timah, minyak kelapa sawit, kereta, televisyen atau mikrocip, tetapi kualiti idea dan teknologi yang kita wujudkan dan bagaimana ia digunakan untuk menangani cabaran dan mencari peluang baharu,” katanya lagi.



Memoir | Nazir Razak bongkar kisah menerusi 'What’s in a Name'

BACA: What's in a Name: Sampai bila raksasa berkepala tiga akan ganggu Malaysia? - Nazir

BACA: What's in a Name: Malaysia harus kembali bina semula sistem negara, satu lagi platform perundingan diperlukan - Nazir

BACA: Kisah Nazir Razak - What's in a Name


Nazir berkata, kejayaan itu bergantung kepada bagaimana semua pihak mengurus tadbir diri sendiri – politik dan ekonomi; bagaimana kita mewujudkan insentif, mengakui prestasi; menetapkan standard untuk tingkah laku; membina kepercayaan dan mengagihkan ganjaran.

Jelasnya lagi, Malaysia akan menjadi negara yang dinamik dan pelbagai, jika kita yakin sebagai rakyat, usahawan dan pencipta.

Keadaan itu, kata Nazir, tidak mustahil untuk dicapai sekiranya rakyat mampu mencari jalan untuk mengawal keadaan berbanding terlampau bergantung kepada pihak konformis, pasif, dan menggunakan kaedah top-down seperti yang lepas.

Kerajaan yang wujud dengan pertukaran pakatan parti politik, katanya lagi, membolehkan kerajaan terus dipantau pengundi melalui sistem pengundian berkadar yang baharu, media yang lebih bebas, serta semak dan imbang antara institusi.

“Ia akan menjadi sangat mustahil untuk pemusatan kuasa atau demi kepentingan peribadi, seperti yang terjadi pada masa lepas. Sistem kita akan mewujudkan keseimbangan baharu tentang peranan, tanggungjawab, pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif, kehakiman dan Majlis Raja-Raja, termasuk di peringkat negeri.

“Rasuah akan dihapuskan dengan pelaksanaan persaingan yang sihat, disokong oleh Majlis Raja-Raja. Ia mungkin tidak sempurna – sistem politik tidak pernah sempurna – tetapi secara terasnya ia tidak akan korup, tetapi lebih dipercayai.

“Pilihan raya bukan lagi peluang untuk menyogok pengundi atau berlawan tawaran untuk etnik tertentu, tetapi mata wang politik Malaysia, lebih ke arah mencari pendekatan kreatif dan produktif,” tegasnya lagi.

Malaysia, tegas Nazir, mempunyai peluang yang cukup luas untuk tunjukkan kepada dunia, negara ini mampu hidup bersama, inklusif, toleransif dan masyarakat yang kreatif.

“Kita akan bersama-sama menghadapi masa yang mencabar dan tidak tentu dengan menghormati kepelbagaian sebagai asas kepada perpaduan dan persaingan. Dengan semangat antara satu sama lain, kita mampu membentuk masa depan lebih gemilang.

“Sudah tiba masanya untuk kita menanam kepercayaan antara satu sama lain dan percaya kepada masa hadapan negara. Untuk Malaysia berjaya, kita perlu menjadi rakyat Malaysia dahulu,” tulis beliau lagi.

Tetapi, Nazir berkata, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah rekalibrasi kenegaraan – apa maksudnya dan bagaimana ia berfungsi – untuk kembali semula kepada laluan untuk menjadi negara kepada semua rakyat Malaysia.