Setiap pengguna aplikasi WhatsApp pasti ada mesej berkumpulan (group chat) yang “disenyapkan” dengan fungsi mute agar tiada notifikasi berkaitan kumpulan tersebut diterima di telefon pintar.

Biasanya kumpulan ini disenyapkan kerana perbualan yang terlalu kerap atau pengguna tidak sampai hati untuk keluar daripada kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, kemas kini terbaharu WhatsApp seolah-olah membatalkan fungsi mute.

Kemas kini siri 2.16.272 itu membenarkan ahli group chat untuk tag ahli lain yang berada dalam kumpulan tersebut dengan menaip karakter “@” dalam ruang mesej.

Pengguna kemudiannya boleh menaip nama ahli kumpulan yang ingin di’tag’ atau memilih nama daripada senarai ahli kumpulan yang terpapar.

BACA: 7 jenis group whatsapp paling lazim

Gangguan kepada pengguna?

Namun ramai yang berpendapat ciri baharu ini akan menyebabkan pengguna menerima notifikasi tanpa keizinan pengguna yang telah mengaktifkan fungsi mute bagi group chat tertentu.

Setakat ini, notifikasi setelah di’tag’ dalam WhatsApp hanya boleh dielakkan dengan menyahpasang (uninstall) aplikasi tersebut sama sekali atau menyahaktif (deactivate) semua notifikasi daripada Whatsapp.

Tambah fungsi mesej berkumpulan

Kemas kini ini dilihat sebagai pendekatan WhatsApp untuk menjadi platform lengkap dalam menguruskan hal pejabat mahupun keluarga.

Fungsi tag ini membenarkan ahli kumpulan menerima notifikasi sekiranya ada mesej penting yang perlu disampaikan sekalipun kumpulan tersebut dalam fungsi mute.

WhatsApp sebelum ini telah membenarkan pengguna berkongsi dokumen misalnya dalam format PDF.