Wisma Putra pantau insiden perlanggaran 2 kereta api berkelajuan tinggi di Sepanyol

Kementerian Luar menyatakan bahawa setakat ini tiada pengesahan rasmi mengenai penglibatan mana-mana warga Malaysia dalam insiden perlanggaran kereta api di Sepanyol.
PUTRAJAYA: Kementerian Luar Malaysia, menerusi kedutaannya di Madrid, sedang memantau rapat perkembangan insiden perlanggaran membabitkan dua kereta api berkelajuan tinggi di Sepanyol pada Ahad malam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, kementerian itu memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Sepanyol sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan di Cordoba, serta pengendali kereta api yang terlibat.
Kementerian menyatakan bahawa setakat ini tiada pengesahan rasmi mengenai penglibatan mana-mana warganegara Malaysia dalam insiden tersebut.
Kementerian menegaskan bahawa ia akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa sekiranya perlu.
Tambah kementerian itu, warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Madrid melalui talian telefon +(34) 91 555 0684 atau +(34) 91 555 0737, untuk kecemasan di talian +(34) 659 89 49 43, atau melalui e-mel di [email protected].
Sekurang-kurangnya 21 orang dilaporkan terkorban dan 25 yang lain cedera parah apabila kereta api berkelajuan tinggi yang dalam perjalanan bagi laluan Malaga-Madrid dan Madrid-Huelva, terbabit dalam perlanggaran berhampiran bandar Cordoba di selatan Sepanyol pada Ahad kira-kira 7.45 malam waktu tempatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


