KUALA LUMPUR : Tujuh universiti tempatan tersenarai antara 500 universiti terbaik di dunia, termasuk Universiti Malaya (UM) yang terus mengekalkan kedudukan pertamanya di negara ini.

Malah, kedudukan universiti berusia 118 tahun itu terus melonjak 100 anak tangga ke kedudukan 251, berbanding kedudukan 351 pada tahun lalu.

Data itu seperti yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) World University Rankings 2024 yang turut membawa kedudukan UM sebagai antara 15 peratus universiti terbaik di dunia.

Kedudukan universiti kedua terbaik di Malaysia pula ialah Universiti Teknologi Petronas yang turut merekodkan prestasi cemerlang melonjak ke tangga 301 dalam kumpulan 350 kedudukan terbaik dunia, berbanding di tangga 401 tahun lalu.

Manakala turut tersenarai dalam kumpulan universiti terbaik dunia ke-401 hingga 500, ialah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Utara Malaysia.

Universiti Putra Malaysia pula berada dalam lingkungan 501–600 universiti terbaik dunia.

Tahun ini, THE World Rankings menilai sebanyak 1,904 universiti, meningkat berbanding 1,799 universiti tahun lalu dan jumlah ini merangkumi institusi pendidikan dari 108 buah negara.

Penilaian itu dijalankan THE World Rankings secara komprehensif melibatkan 18 indikator dan prestasi universiti merangkumi asas pengajaran, penyelidikan, perkongsian ilmu dan aspek antarabangsa.

Ini senarai penuh THE World Rankings bagi universiti tempatan: