KUALA LUMPUR: World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk membantu proses vaksinasi sukarela yang bakal bermula 5 Mei ini.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, WTCKL mempunyai kawasan seluas 13,456 meter persegi merangkumi lima dewan dan 19 bilik serba guna untuk menjadi lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Katanya, WTCKL dijangka menerima keseluruhan 185,000 penerima vaksin sukarela secara berperingkat sepanjang tempoh program bermula 5 Mei sehingga 5 Jun.

"WTCKL bakal menampung seramai 2,300 penerima vaksin pada hari pertama, diikuti 1,200 penerima vaksin pada 6 hingga 12 mei.

"Program vaksinasi akan disambung semula pada 15 Mei sehingga akhir program pada 5 Jun dengan anggaran 8,000 penerima," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain WTCKL, tiga lagi pusat pemberian vaksin ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ideal Convenction Centre Shah Alam (IDCC).

Dalam masa sama, Irmohizam  turut mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kerajaan kepada WTCKL untuk dijadikan sebagai salah satu pusat vaksinasi.