Seawal jam 7.10 minit pagi tadi, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar telah berangkat meninggalkan Istana Abdulaziz di Kuantan, menuju ke perkarangan Pangkalan Udara TUDM, Kuantan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Rakyat jelata Pahang juga tidak melepaskan peluang mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke ibu negara hari ini.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini bagi tempoh lima tahun.

Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara sekitar jam 11 pagi.