TAIPING: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sehingga kini membelanjakan RM6 juta bagi projek bina baru dan baik pulih 155 unit kediaman di seluruh negara melalui Program Inspirasi MyHAUS.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, jumlah tersebut memanfaatkan 604 isi rumah.

"Untuk tahun 2023 sahaja, YaPEIM memperuntukkan RM5 juta bagi proses pembinaan dan baik pulih rumah," katanya ketika sidang media selepas simbolik penyerahan rumah baharu kepada dua penerima, di sini. pada Ahad.

Mohd Na'im berkata, dua rumah berkenaan yang bernilai RM120,000 diserahkan kepada Norazman Yang Hazali, 49, di Jalan Batu Matang, dan Ahmad Azudin Mat Salleh, 49, dari Kampung Jaha, di sini.

Sementara itu, Norazman bersyukur kerana terpilih menyertai program itu kerana sebelum ini dia bersama isteri dan dua anak mereka tinggal di rumah sewa selama 21 tahun.

"Alhamdulillah, dengan adanya rumah baharu ini kami dapat menjimatkan perbelanjaan kerana sebelum ini sewa rumah naik saban tahun," kata peniaga kedai makanan itu.

Norazman juga menerima Pakej Bantuan Kelestarian Perniagaan hingga RM3,000 berupa peralatan dan wang tunai daripada YaPEIM.

Terdahulu Mohd Na'im turut menyampaikan bantuan Sinar Kasih dan Inspirasi Prihatin YaPEIM kepada empat beradik yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan jalan raya di KM3.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu, di Gopeng pada 11 Julai lepas.

Mereka ialah Nur Fatin Syafika Mohd Ramddan, 18, Muhammad Ikhman Hafifi, 17, Muhammad Aiman Dania, 13, dan Nur Fatihah Najihah, 10.

- BERNAMA