KUALA LUMPUR: Satu Rang Undang-undang (RUU) baharu perlu digubal, bagi memastikan sebuah kerajaan yang wujud sama ada menerusi parti yang dominan atau gabungan dikekalkan sehingga akhir penggal.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi mengelakkan sejarah pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan bersilih ganti dalam penggal yang sama berulang.

"Saya ingin menyarankan supaya satu RUU dibentangkan bahawasanya, sekiranya sesebuah kerajaan itu diwujdukan sama ada sesebuah parti itu dominan, atau gabungan parti itu dominan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka ia harus dikekalkan sehingga akhir penggal.

"Jika tidak, kita akan mengalami perkara yang pernah berlaku sebelum ini dan ia tidak baik untuk negara serta rakyat keseluruhannya," katanya pada sidang media Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini pada Sabtu.

Zahid cadang RUU bagi kekalkan kerajaan hingga habis penggal


Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada gerakan 'Langkah Dubai' yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pada masa sama harus ada perubahan dalam minda ahli politik bahawa sesuatu gabungan parti yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan, mestilah diberi laluan mentadbir negara sehingga penggal terakhir Parlimen.

Katanya, ahli politik seharusnya bertindak dan berfikiran positif dalam membawa RUU itu.

"Biarpun politik itu sangat dinamik dan pragmatik, dalam hal ini kita harus lebih praktikal untuk menjaga sebuah negara.

"Boleh berbeza pendapat, tetapi untuk kepentingan negara, kita tidak harus menjadikan rakyat sebagai satu bahan uji kaji demi kepentingan nafsu politik dalam kalangan ahli politik. Cukuplah untuk kita belajar daripada pengalaman yang lalu," katanya lagi. 

Beliau menambah, Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk atas titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 perlu dipertahankan..

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai dakwaan sogokan oleh pihak Perikatan Nasional (PN) kepada Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan, beliau berkata: “Saya hanya membaca kenyataan daripada media."