Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan ke atas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang didakwa pengikut ajaran Syiah.

Dalam ucapannya sebagai Naib Presiden UMNO semasa menggulung perbahasan pada perhimpunan parti itu hari ini, Ahmad Zahid mendedahkan Mohamad adalah seorang pengikut ajaran Syiah.

"Kita tahu siapa pemimpin Syiah dalam PAS," katanya seraya disambut sorakan oleh perwakilan UMNO "siapa, siapa?".

"Kita hairan bagaimana PAS boleh orang itu sebagai pemimpin nombor dua parti," balas Ahmad Zahid.

Mohamad terpilih semula sebagai Timbalan Presiden PAS pada pemilihan parti itu dua minggu lalu selepas menang mengalahkan pencabarnya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dengan majoriti hanya 98 undi.

Ini adalah kali pertama dakwaan ke atas Mohamad itu diucapkan secara terbuka oleh pemimpin UMNO biarpun selama ini dakwaan itu jadi desas-desus di kalangan ahli PAS dan UMNO serta di kalangan pemerhati politik.

Ahmad Zahid juga menyeru kepada PAS untuk bersama-sama kerajaan membanteras ajaran Syiah kerana ia adalah masalah negara yang merentas sempadan politik.

Ajaran Syiah telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid juga mengumumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini telah menolak pendaftaran Majlis Syiah Malaysia yang cuba didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1996.

Beliau juga memberi amaran mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengikut Syiah yang menjalankan kerja-kerja ajaran itu termasuk menyita premis tempat kerja-kerja itu dilakukan.

"Saya tidak pandang ini dari segi akidah. Itu kuasa Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri agama. Saya lihat dari aspek keselamatan kerana kita tidak mahu ummah dipecahkan oleh ajaran sesat," katanya.

Beliau kemudian mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya menangani ajaran sesat yang dibentuk sebagai kerjasama KDN dan JAKIM bagi membanteras bukan saja ajaran Syiah tetapi ajaran-ajaran sesat yang lain.

Ahmad Zahid juga memberitahu perwakilan UMNO bahawa Imam Masjidil Haram dari Madinah bersetuju dengan cadangan yang dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO ini agar ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah dimasukkan dalam takrifan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.