Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membenarkan cop tandatangannya digunakan pada cek-cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran bil kad kredit peribadinya.

Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, berkata beliau mula menggunakan cop tandatangan untuk cek-cek Yayasan Akalbudi setelah mendapat kebenaran daripada Ahmad Zahid pada 2014.

“Ini kerana Datuk Seri sentiasa sibuk … Selain itu, penyata kad kredit juga sering diterima selepas tarikh akhir bayar dan saya khuatir jika bayaran dibuat terlalu lewat pihak bank akan menyekat penggunaan kad kredit Datuk Seri (Ahmad Zahid) atau Datin Seri (Datin Seri Hamidah Khamis). Ini akan menyusahkan mereka, lebih-lebih lagi jika berada di luar negara.

“Jadi untuk mengelak sebarang kesulitan kepada mereka, saya meminta kebenaran Datuk Seri (Ahmad Zahid) untuk menggunakan cop tandatangan beliau. Datuk Seri bersetuju dan kata okey ... Saya tidak menggunakan buku cek akaun peribadi Datuk Seri kerana tiada arahan daripada Datuk Seri untuk berbuat demikian,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-90 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Katanya cop tandatangan itu berwarna hitam dan beliau pernah menggunakan cop berkenaan untuk sijil penghargaan, kad jemputan dan seumpamanya.

“Saya tidak pernah menggunakan cop tandatangan Datuk Seri untuk kepentingan peribadi saya. Kali terakhir saya menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk bayar kad kredit ialah pada awal tahun 2016.

“Sepanjang ingatan saya, pada masa itu, Datuk Seri mengarahkan saya supaya jangan lagi guna cek Yayasan Akalbudi untuk bayar kad kredit kerana dikatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah mula buat siasatan. Saya tidak tanya lanjut. Saya diminta untuk bayar kad kredit secara tunai,” katanya.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-31 , Siti Nur Musliha Mohamad Noor yang merupakan ahli kimia memberitahu mahkamah bahawa 16 cek milik Yayasan Akalbudi yang digunakan untuk membuat beberapa pembayaran termasuk kegunaan peribadi Ahmad Zahid mempunyai tandatangan tertuduh itu.

Mazlina, 42, juga berkata bagi pembayaran bil kad kredit, insurans dan cukai jalan kenderaan milik Ahmad Zahid yang menggunakan cek-cek Yayasan Akalbudi juga mendapat kebenaran daripada presiden UMNO itu.

“Setiap kali ingin mendapatkan tandangan beliau, saya akan membawa penyata kad kredit bersekali untuk rujukan Datuk Seri (Ahmad Zahid).

“Datuk Seri teliti orangnya. Setiap cek atau pun surat yang saya sediakan beliau akan semak, jika ada salah ejaan misalnya, Datuk Seri akan tegur. Jika tiada kesalahan barulah Datuk Seri akan tandatangan,” katanya.

Mazlina berkata Ahmad Zahid tidak pernah menyoal dirinya setiap kali mengemukakan cek Yayasan Akalbudi yang telah diisinya bagi pembayaran bil kad kredit, insurans dan cukai jalan kenderaan.

“Datuk Seri juga tidak pernah menyoal saya kenapa saya tidak menggunakan cek peribadi beliau iaitu akaun Maybank...Saya akan berada dalam bilik Datuk Seri dan tunggu sehingga beliau tandatangan cek-cek itu.

“Pada satu-satu masa, saya akan membawa masuk tiga atau empat keping cek untuk beliau tandatangan. Datuk Seri akan tandatangan menggunakan pen beliau sendiri, dan biasanya pen berdakwat hitam … Semua cek Yayasan Akalbudi yang saya sediakan untuk membayar bil kad kredit tidak di “pre-sign” (ditandatangan lebih awal) oleh beliau,” katanya.

Tambahnya, beliau juga diarahkan oleh Ahmad Zahid untuk menyediakan cek-cek kepada TS Consultancy & Resources, Persatuan Bolasepak PDRM dan Armada Holdings Sdn Bhd.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA