Tokoh wartawan negara, Datuk A. Kadir Jasin membayangkan kemenangan besar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Naib Presiden UMNO meletakkan Menteri Dalam Negeri itu sebagai bakal waris kepimpinan UMNO selepas Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, sebagai pemimpin tertinggi dalam UMNO yang menang pemilihan, kedudukan Ahmad Zahid sangat kukuh.

"Adalah tidak mustahil beliau bertukar daripada penyokong setia kepada pencabar kepemimpinan teratas pada masa hadapan," tulis Kadir di blognya hari ini.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Berhad itu bagaimanapun berpendapat kuasa memilih pemimpin yang diluaskan kepada ahli UMNO di peringkat akar umbi selepas pindaan perlembagaan parti itu pada 2009 tidak membawa kepada perubahan dan anjakan yang besar serta tidak membayangkan pewarisan yang meyakinkan.

"Tidak ada tanda nyata bahawa Umno semakin muda, segar dan dibarisi generasi pelapis kecuali beberapa kerat yang menang kerusi biasa MT," katanya.

Kadir bimbang keadaan itu akan menyebabkan UMNO akan sampai ke "penghujung jalan mati".

Ahmad Zahid menduduki temat teratas dalam senarai tiga naib presiden diikuti oleh Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam tulisannya yang berterus-terang itu, Kadir menyifatkan Ahmad Zahid sebagai seorang yang tegas berbanding Hishammuddin yang sebelum ini Menteri Dalam Negeri.

"Malah pendirian tegas beliau (Ahmad Zahid) terhadap jenayah dan keselamatan negara membezakan beliau daripada liberalisme Mohd Najib," katanya.

Kadir merujuk kepada pemansuhan "secara tergesa-gesa" Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat dan Akta Buang Negeri yang menyebabkan ribuan anggota kongsi gelap dibebaskan dan kemudian dikatakan menyumbang kepada peningkatan mendadak jenayah.

"Pendirian dan pendekatan Ahmad Zahid sejak menjadi Menteri Dalam Negeri jelas menyimpang daripada liberalisme dan keterbukaan Mohd Najib yang kurang disenangi oleh orang Melayu, khasnya ahli Umno," tambah Kadir.

Dalam pada itu, Kadir meramalkan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sebagai gandingan Ahmad Zahid.

Selain menjanjikan undi daripada sayap pergerakan pemuda, Khairy juga dilihat akan melengkapi Ahmad Zahid kerana "latar belakang pendidikan, pendedahan dan pendekatan mereka yang berbeza".

"Ahmad Zahid boleh menjadi juara Melayu dan juara dalam negara manakala Khairy boleh menjadi jurucakap di luar negara. Sebagai negara global, Malaysia memerlukan pemimpin yang berperwatakan global juga. Setakat jaguh kampung tidak memadai," katanya.

Sementara itu, Kadir mengkritik pemilihan ramai menteri dan timbalan menteri sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO kerana ia akan melemahkan kemampuan majlis itu untuk bercakap bagi pihak orang Melayu.

"Ada beberapa kerat saja ahli MT yang tidak berjawatan tinggi (atau belum diberikan jawatan) yang boleh menjadi suara orang Melayu dan Bumiputera jika mereka mahu dan berani.

"Tetapi kalau mereka pun digula-gulakan juga, maka tidak adalah suara Melayu bebas dalam MT. Maka kemungkinan MT penggal ini menjadi MT “yes men” dan “yes women” kepada Presiden adalah sangat tinggi," katanya.

Kadir juga menyinggung soal ketandusan pemimpin pelapis dalam UMNO yang katanya, membezakan parti itu dengan lawannya seperti Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP "yang cekap menyelidik, berbahas dan berartikulasi".