KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri menyarankan majikan membayar gaji minimum RM3,000 terhadap graduan yang menyertai Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bayaran sebegitu adalah wajar kerana mereka adalah pekerja mahir dan bukannya bekerja dalam bidang 3D atau dirty, difficult and dangerous.

“Saya rasa pekerja mahir akan mempertingkatkan produktiviti kepada industri dan produktivi ini secara jangka panjang akan mengurangkan kos untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan akhir.

BACA: Kerjasama kerajaan-industri bantu graduan TVET dapat gaji setimpal - Sivakumar

“Ini (gaji RM3,000) adalah munasabah keran mereka bukan pekerja biasa, mereka adalah pekerja terlatih dan sesuai dengan kehendak pasaran,” katanya.

Tambah Zahid, beliau menyerahkan keputusan itu kepada pemain industri dan tidak berhasrat menjadikannya undang-undang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Transformasi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Antara Syarikat Berkaitan Berajaan (GLC) dan syarikat swasta bersama kerajaan pada Khamis.

BACA: 'Berfikiran New York, berjiwa Mekah' formula lahirkan graduan TVET berkualiti - Ahmad Zahid

Sebanyak 10 Memorandum Kerjasama telah dimeterai antara Kerajaan melibatkan pihak industri seperti Petronas, Gamuda Berhad, Sunway Services, DRB Hicom, Berjaya Corporation dan Redbeat Academy dalam program tersebut.

Menerusi Memorandum Kerjasama itu rakan strategik industri akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pogram TVET negara melalui pembangunan kurikulum dan bahan latihan, sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan.

Selain itu, mereka yang terlibat juga akan menyumbang khidmat kepakaran, pembangunan kompetensi tenaga pengajar serta pembiayaan program latihan.

MTUC sambut baik peruntukan perkasa TVET

Penglibatan dan kerjasama itu akan mencakupi pelbagai bidang utama dalam program TVET seperti minyak dan gas, automotif, elektrik, hospitaliti, pembinaan, aeroangkasa, industri, kejuruteraan pembangunan perisian serta sistem binaan berindustri (IBS).

Pemeteraian 10 Memorandum Kerjasama ini adalah langkah permulaan yang diambil oleh Kementerian Sumber Manusia dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk memuktamadkan 50 Memorandum Kerjasama pada tahun 2023.