PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menafikan dakwaan rombakan kabinet adalah berkaitan struktur dalaman UMNO atau melindungi presidennya.

Beliau juga yang baru bertukar portfolio daripada Menteri Luar Negeri ke Menteri Pendidikan Tinggi berkata, perkara berkenaan adalah hak mutlak Perdana Menteri dalam menentukan kekuatan pasukannya.

“Tentunya beliau telah membuat penilaian yang terbaik bagi meneruskan pimpinan berdasarkan respon yang diperolehi daripada rakyat.

“Dalam kerajaan sebelum ini juga ada perubahan dari masa ke masa untuk memantapkan lagi pentadbiran yang ada dan ia tidak ada kaitan dengan politik, seperti yang dispekulasi setengah pihak,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya sebelum upacara simbolik 'clock-in' lalu terus mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kementeriannya.

Rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada selasa menyaksikan jawatan Menteri Pendidikan Tinggi diambil alih Zambry bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang bertukar portfolio beralih menerajui Kementerian Pertahanan.

Sementara itu Zambry bertekad akan meneruskan agenda reformasi pendidikan tinggi yang ditinggalkan menteri terdahulu, kerana ia berada di landasan tepat.

Selain akan menggunakan pengalaman luas dalam bidang pengajian tinggi negara akan digunakan sebaiknya dalam menyantuni warga KPT.

Ini kerana walaupun bertukar portfolio, beliau akan menggunakan pengalaman sepenuhnya kerana pernah menjadi pemimpin mahasiswa dan pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).