KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan dijangka mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu minggu depan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa pengumuman mengenainya akan dibuat sekitar dua hari sebelum penamaan calon.

"(Bila wakil calon itu akan diberitahu, Datuk Seri?)"

“Saya rasa dua hari sebelum penamaan calon," kata Zambry kepada pemberita ketika sidang media di Auditorium HIVE 5, MRANTI Park, di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, BN kini sedang mengatur gerak kerja seperti menyusun program mendekati rakyat dengan mengetengahkan politik kesederhanaan Kerajaan Madani.

"Saya dan Steven Sim akan dipertanggungjawabkan membuat persiapan awal, tetapi yang paling mustahak ialah memastikan semua pihak terlibat bekerja sebagai satu pasukan," kata Zambry.

Jelasnya, persiapan awal itu termasuk melihat keadaan di Kuala Kubu Baharu dari segi jumlah pengundi dan juga kedudukannya.

"Yang paling mustahak ialah kita membawa mesej kerajaan ini iaitu kerajaan yang membawa politik kesederhanaan... itu motto kita," tambahnya.

Menurut Zambry, pihaknya juga sudah mengenal pasti calon yang akan mewakili parti, namun masih belum boleh beri kata putus.

“Proses untuk mengenal pasti calon sudah dibuat dan ia akan menjadi calon Kerajaan Perpaduan.

“Calon itu bukan daripada calon yang dianggap atas nama parti, tetapi kita akan memperkenalkan calon itu sebagai calon Perpaduan,” katanya lagi.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.