SHAH ALAM: Meskipun sudah sebulan setengah pemergian insan istimewa arwah Zayn Rayyan Abdul Matiin, namun keletah dan aksinya sentiasa dalam ingatan.

Ibu Allahyarham, Ismanira Abdul Manaf, 29, berkata, setiap masa hatinya akan mengimbau kenangan manis bersama anak kesayangan yang tidak pernah luput daripada kotak pemikiran.

Menurutnya, aksi manja Zayn Rayyan masih segar dalam ingatan dan ia sukar dibuang daripada kehidupan seharian.

Jelasnya, memori indah sering bermain di fikiran dan menggamit kerinduan.

"Memang susah untuk melupakan kenangan terindah bersama anak istimewa kami itu (Zayn Rayyan).

"Kenangan bersamanya sentiasa bermain di fikiran kami sekeluarga. Dia sentiasa di hati saya.

"Meskipun saya reda dengan ketentuan Ilahi, tetapi saya tidak tahu sampai bila kesedihan ini akan terubat sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Isma berkata, dia sekeluarga sentiasa mendoakan kebaikan buat anak kesayangannya itu dan berada dalam kalangan insan-insan yang dirahmati ALLAH SWT.

Jelasnya, tiada apa yang dipinta selain kebahagiaan arwah Zayn Rayyan di sana dan bahagia sementara menanti dirinya sekeluarga bertemu di akhirat kelak.

"Kami sekeluarga sentiasa mendoakan kebahagiaan buat arwah Zayn di sana.

"Dengan izin Allah, kami akan bertemu kembali dalam sebuah keluarga yang dirahmati dan dilimpahi kasih sayang," ujarnya.

Meskipun kadang kala hati terusik hiba, Isma berkata, dia cuba untuk berfikiran positif dan menguatkan semangat.

Menurutnya, suami tercinta dan seluruh ahli keluarga sentiasa ada untuk memberi kekuatan bagi menempuh segala ujian daripada-Nya.

Katanya, dia sangat bersyukur mempunyai keluarga yang sentiasa memberi semangat dan meneruskan kehidupan seharian.

Tambahnya, dia sekeluarga juga berterima kasih kepada semua pihak dan orang ramai yang sentiasa memberi kata semangat serta mendoakan yang terbaik buat arwah Zayn Rayyan.

Isma berkata, dia dan suami kini berada di rumah keluarga di Taman Subang Bestari, Subang Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, Ismanira sangat berharap agar pelaku jenayah pembunuhan anaknya akan dapat ditangkap oleh pihak polis.

"Kami sekeluarga memang sangat mengharapkan ada keajaiban supaya pelaku ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan," ujarnya. - Sinar Harian