Nelayan tempatan khususnya di selatan Johor diingatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga semasa menangkap ikan di kawasan yang bersempadan dengan Singapura itu bagi mengelak dijangkiti virus Zika.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim menjelaskan, langkah itu sekali gus mampu mencegah wabak berkenaan daripada terus merebak ke dalam negara.

"Melihat kebimbangan masyarakat, khususnya di negara kita terhadap jangkitan virus Zika, saya ingin menyeru kepada golongan nelayan terutama nelayan yang berada di perairan Selatan Johor supaya berhati-hati terutama sekali apabila mereka melakukan tangkapan ikan, termasuk juga di mana-mana sahaja," katanya selepas menghadiri Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia (ICAPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.

Beliau juga mahu semua pihak agar tidak panik dan sentiasa berhati-hati semasa melakukan pekerjaan masing-masing.

"Rakyat tidak perlu panik, terutama sekali jangkitan virus Zika pada nelayan kerana saya difahamkan semua nelayan harus mengambil tindakan berjaga-jaga sekiranya wujud simptom sewaktu mereka menangkap ikan di lautan," tegas beliau.

Pada masa sama, Irmohizam mahu golongan nelayan agar sentiasa mengikut saranan dan nasihat Kementerian Kesihatan dalam mencegah jangkitan virus itu.

"Pada hemat saya, pentingnya sesi penerangan daripada Kementerian Kesihatan kepada semua peringkat golongan termasuk nelayan supaya kita boleh cegah Zika khususnya nelayan yang berada di selatan Negeri Johor," jelasnya lagi.

Beliau juga telah memaklumkan kepada Persatuan Nelayan agar berhati-hati semasa melakukan kerja-kerja mengeksport ikan-ikan ke Singapura.

"Namun, setakat ini, tiada laporan (kes) yang dilaporkan, saya sentiasa memantau supaya wabak dapat dibanteras dan dalam keadaan ikan yang sentiasa mencukupi dalam negara kita," ujar beliau.