ISKANDAR PUTERI: Perbincangan lanjut antara Malaysia dan Singapura untuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura akan disusuli dengan persetujuan terhadap Terma Rujukan (TOR), bulan depan, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata SEZ Johor-Singapura mampu menjadikan Johor seperti bandar Shenzhen di China yang berkembang maju selepas empat dekad menjadi SEZ.

"Insya-Allah, pada Oktober ini, semasa Leaders Retreat (Pemukiman Pemimpin) di Singapura yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura, perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dan kemudian disusuli dengan persetujuan TOR," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di sini, pada Khamis.

Pada Julai lepas, kedua-dua negara telah bersetuju untuk mewujudkan pasukan petugas khas bagi mengkaji penubuhan SEZ dan dijangka melaporkan perkembangannya kepada pemimpin semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang dijadualkan Oktober ini.

Beliau berkata Shenzhen telah berubah daripada sebuah bandar kecil berpenduduk kira-kira 300,000 orang kepada bandar metropolis antarabangsa berteknologi tinggi dengan populasi lebih 17 juta hanya dalam tempoh empat dekad.

Onn Hafiz berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Shenzhen pada 2021 melepasi paras tiga trilion yuan dan Shenzhen menjadi bandar ketiga terbesar di China hanya dalam tempoh itu.

"Apa yang dicapai oleh Shenzhen, China membuktikan bahawa SEZ Johor-Singapura boleh membuahkan hasil terbaik untuk Johor.

"Namun, perkara ini pastinya memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak, daripada kerajaan Singapura mahupun kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) mengenai status terkini rancangan mewujudkan SEZ Johor- Singapura.

-- BERNAMA