JOHOR BAHRU: Inisiatif Kerajaan Negeri Johor mewartakan kawasan seluas 2,000 hektar di Segamat sebagai Zon Keterjaminan Makanan, disifatkan sebagai langkah strategik dan signifikan dalam memastikan bekalan makanan kekal mampan serta mencukupi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata langkah proaktif itu, mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memperkukuh sekuriti makanan, khususnya dalam sektor pertanian dan penternakan.
“Inisiatif tersebut dilihat sebagai langkah penting, dalam memastikan bekalan makanan, khususnya hasil pertanian dan ternakan, terus mencukupi serta mampan bagi memenuhi keperluan rakyat dan industri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau bekata demikian selepas mengadakan sesi kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip di Kota Iskandar, semalam.
Chan berkata Johor terus memainkan peranan penting sebagai antara peneraju utama sektor agromakanan negara, malah dikenali sebagai Food Basket of Malaysia serta hab bekalan makanan ke pasaran serantau dan antarabangsa.
Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, Johor merekodkan nilai jualan sektor pertanian tertinggi negara iaitu sebanyak RM27.52 bilion, bersamaan 16.9 peratus daripada keseluruhan nilai jualan pertanian Malaysia, selain mencatatkan pendapatan tertinggi sektor berkenaan dengan nilai RM30.15 bilion, sekali gus membuktikan kekuatan dan daya tahan industri agromakanan Johor.
Dalam pada itu, Chan berkata Kerajaan persekutuan menghargai komitmen Johor dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan pertanian berjalan lancar, dengan semua projek di bawah peruntukan Persekutuan berjaya disiapkan sepenuhnya.
“Ia melibatkan 16 projek bernilai RM20.71 juta pada 2024 dan 22 projek bernilai RM26.45 juta pada 2025,” katanya.
Chan berkata bagi tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Johor menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM32.12 juta menerusi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN), melibatkan 27 projek pembangunan sektor agromakanan.
-- BERNAMA