TAIPING: Pembukaan tahun 2022 disambut dengan gembira di Zoo Taiping & Night Safari apabila diserikan dengan kehadiran ahli keluarga baharu, iaitu seekor anak gajah betina yang telah dilahirkan pada 1 Januari lalu.

Anak gajah yang dianggarkan seberat antara  70 kilogram (kg) hingga 80kg itu, dilahirkan oleh ibunya bernama ‘Kelian’, seekor gajah dewasa berusia 12 tahun yang juga telah dilahirkan di Zoo Taiping pada tahun 2009.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, dengan kehadiran ahli baharu itu yang diberi nama ‘Pinang’, kini Zoo Taiping & Night Safari mempunyai sebanyak 11 ekor gajah Malaysia atau nama saintifiknya Elephas maximus hirsutus.

Menurutnya, setiap anak gajah yang lahir akan hidup bersama ibunya lebih kurang enam hingga tujuh tahun manakala tempoh penceraian susu sekitar umur 3 hingga 4 tahun.

“Ini merupakan kelahiran yang kelapan berjaya disambut oleh Zoo Taiping & Night Safari.

“Kelahiran ini menjadikan Zoo Taiping & Night Safari sebagai salah satu zoo yang berjaya membiak gajah Malaysia dengan jayanya,” katanya pada sidang media di zoo berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemantauan telah dibuat sepanjang tempoh bunting gajah tersebut dan sehingga kini penjaga masih lagi memantau keselamatan dan keadaan anak dan ibunya.

“Sifat semula jadi dan keistimewaan yang dimiliki oleh gajah adalah hidup berkumpulan serta melindungi anak yang baru dilahirkan bagi menjaga keselamatan anak tersebut,” ujarnya.

Pengunjung Zoo Taiping & Night Safari juga berpeluang melihat spesies baharu seperti (dari kiri) tarsius atau kera hantu, golden-headed lion tamarin dan eland. - Foto: Majlis Perbandaran Taiping

Khairul Amir berkata, selain kelahiran anak gajah, Zoo Taiping & Night Safari turut menerima beberapa kelahiran sepanjang tahun 2021.

Katanya, antara kelahiran itu ialah rusa ubi, rusa bawean, burung tiong mas, nyala, landak raya, burung botak upeh dan burung keria mahkota.

Menurutnya, pihak zoo meletakkan harapan yang sangat tinggi pada setiap anak-anak yang dilahirkan itu supaya dapat membesar dengan baik dan terus membiak pada masa akan datang.

Selain itu, kata Khairul Amir, sepanjang tahun 2021, Zoo Taiping & Night Safari juga telah menerima dan menambah beberapa spesies haiwan baharu seperti nyala, zebra, eland, impala, kera hantu, golden-headed lion tamarin dan burung merak hijau.