KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 esok selepas solat Jumaat.

Zulkifli menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi beliau hari ini turut menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia serta warga lain untuk mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin itu agar terlindung daripada wabak COVID-19.

"Vaksin Pfizer-BioNTech telah sampai ke negara kita dan semalam, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah mengambil suntikan vaksin, begitu juga Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Noor Hisham Abdullah) dan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan. Insya-Allah, saya akan mengambilnya esok selepas solat Jumaat.

"Melalui pengambilan vaksin ini, ia merupakan perkara yang amat baik berdasarkan kepada rekod dan catatan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia serta perakuan daripada badan-badan kesihatan dunia dan juga negara akan keperluan pengambilan vaksin COVID-19," menurutnya dalam hantaran itu.

Pada 5 Okt tahun lepas, beliau telah disahkan positif COVID-19 dan dibenarkan keluar dari wad pada 14 Okt selepas pulih setelah menjalani rawatan.

-- BERNAMA