Pihak berkuasa telah mengenal pasti dua lagi mayat warga Malaysia mangsa tragedi MH17.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kedua-dua mayat itu dikenal pasti sebagai pramugara MAS, Shaikh Mohd Noor Mahmood dan penumpang Liew Chee Yau.

Mayat mereka dijangka dibawa pulang pada Khamis, lapor New Straits Times.

Liow berkata kerajaan sedang berusaha membawa pulang mayat Shaikh Mohd Noor dan Liew bersama dengan mayat anak Tambi Jiee - Muhammad Afzal, 17 dan anak perempuannya Marsha Azmeena, 15.

Mayat Tambi telah dibawa balik awal minggu ini dan dikebumikan di sebelah pusara isterinya, Ariza Ghazalee dan anak sulung mereka, Muhammad Afif.

Tambi, Ariza dan empat anak mereka dalam penerbangan pulang ke Malaysia apabila pesawat yang dinaiki ditembak jatuh pada 17 Julai, membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal.

Laporan awal oleh pakar penyiasat Belanda berhubung tragedi itu mencadangkan bahawa pesawat Boeing 777-200 tersebut berkecai di udara akibat ditembusi "objek berkelajuan tinggi".