Tiada sebarang maklumat berkenaan dakwaan rakaman audio antara juruterbang pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) dan menara trafik udara yang dikatakan telah “diubahsuai”.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang informasi berkenaan dakwaan rakaman audio yang telah didedahkan kepada umum dalam laporan awal kehilangan pesawat tersebut minggu lalu telah “disunting”.

“Setiap dokumen yang didedahkan...sudah tertentu akan membawa kepada bermacam-macam spekulasi..terutamanya dalam rakaman audio tersebut. Namun, saya masih tidak menerima sebarang informasi berkenaan dakwaan ianya telah diubah,” beliau memberitahu pemberita dalam sidang media di Canberra, Australia hari ini.

Dalam laporan sebuah agensi berita Amerika Syarikat, NBC News yang telah memetik kenyataan pakar audio yang mendakwa bahawa terdapat jelas “empat ruang masa” yang dianggap sebagai suntingan “aneh”.

Agensi berita berkenaan memetik pakar forensik audio-video dan penyiasat, Ed Primeau dan pemeriksa forensik audio yang bertugas di Forensik Audio di Los Angeles.

Laporan yang sama juga dipetik melalui Tom Owen, seorang konsultan audio analisis Owen Forensic Services yang juga pengerusi emeritus American Board of Recorded Evidence yang mengatakan bahawa suntingan tersebut sememangnya sudah dijangka.