Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti yang dijadual tahun ini susulan prestasi buruk MCA pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semalam.

Beliau juga mengulangi bahawa parti itu tidak akan menerima jawatan dalam kerajaan, baik peringkat pusat mahupun negeri, seperti yang dipersetujui pada mesyuarat agung luar biasa parti tahun lepas.

"Sebagai Presiden MCA, saya perlu menstabilkan parti ketika menghadapi suasana sukar ini. Saya akan mengadakan mesyuarat majlis presiden dan jawatankuasa pusat bagi membincangkan hala tuju parti susulan keputusan buruk (pilihan raya semalam).

"Pada masa yang sama, saya telah memutuskan untuk tidak bertanding pada pemilihan parti yang akan datang," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Parti komponen Barisan Nasional yang kedua terbesar itu hanya menang tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi dewan undangan negeri (DUN) daripada 37 kerusi parlimen dan 90 DUN yang ditandingi kali ini.
Prestasi buruk MCA turut menyaksikan pembangkang menembusi kubunya di Johor.

Keputusan yang dicatat parti pada pilihan raya kali ini lebih buruk berbanding 2008 kerana ketika itu MCA menang 15 kerusi parlimen dan 32 kerusi DUN daripada 40 kawasan parlimen dan 90 kerusi DUN yang ditandingi.

Dr Chua yang mengambil alih teraju pimpinan MCA pada 2010 selepas krisis kepimpinan, berkata MCA menghormati dan menerima keputusan pengundi.

Katanya keputusan pilihan raya itu jelas menunjukkan pengundian dibuat berdasarkan etnik dengan kaum Cina percaya DAP dapat mengubah kerajaan.

"Mengundi keluar wakil Cina daripada kerajaan negeri dan pusat tidak akan membantu menyelesaikan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

"Bagaimanapun saya percaya perdana menteri akan meneruskan polisi terangkum beliau dan terus menjaga kepentingan kaum Cina terutama mengenai pendidikan, kebudayaan dan ekonomi," katanya.

Beliau berkata MCA juga menyokong gesaan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyatuan nasional.