Parti Gerakan mempunyai tugas besar untuk menebus kekecewaan dalam tsunami politik pada 2008 terutama di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini.

Muka baharu yang dinamakan parti itu sebagai calon pada pilihan raya ini dilihat boleh mempertingkat imej Gerakan dalam usahanya meraih mandat lebih besar daripada rakyat.

Daripada 42 calon, iaitu 11 Parlimen dan 31 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumum parti itu hari ini, seramai 22 orang atau 52.4 peratus adalah muka baharu yang tidak pernah bertanding, lima orang atau 12 peratus calon wanita dan tiga orang atau tujuh peratus calon berketurunan India, manakala baki daripada kaum Cina.

Antara mereka ialah Timbalan Menteri Luar A.Kohilan Pillay yang dicalon bertanding di kawasan Parlimen P
Puchong di Selangor, Anggota Jawatankuasa Negeri N.Gobalakrishnan (Batu Kawan, Pulau Pinang), Setiausaha Agung Pemuda Dr Dominic Lau (Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Setiausaha Agung Wanita B.Jayanthi Devi (Segambut di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Kohilan dijangka berdepan penyandang peguam Gobind Singh Deo (DAP), yang menang dengan majoriti 12,593 undi ketika menentang calon MCA Lau Yeng Peng pada PRU12.

Dominic pula dijangka menentang penyandang kawasan Parlimen Batu, Naib Presiden PKR Tian Chua, yang mengalahkan calon Gerakan Lim Si Pin dengan majoriti 9,455 undi.

Gerakan tidak akan mempertahan kerusi Parlimen Gerik yang dimenangi parti itu pada 2008 menerusi
Ketua Wanitanya, Datuk Tan Lian Hoe dan kawasan itu mungkin diserah kepada calon Umno.

Tan diumum sebagai calon kerusi Parlimen Taiping, yang dimenangi calon DAP Nga Kor Ming pada PRU mengalahkan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M.Kayveas dengan majoriti 11,298 undi.

Bagi Parlimen Simpang Renggam, Timbalan Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng yang menang kerusi itu pada 2008, diberi peluang sekali lagi meneruskan kecemerlangannya di kawasan berkenaan.
Liang dijangka menentang Ketua Penerangan PAS Johor Suhaizan Kaiat pada PRU13.

Bagi DUN pula, Gerakan akan mempertahan tiga daripada empat kawasan yang dimenangi pada 2008 iaitu di Derga, Kedah serta Pemanis dan Bukit Batu, Johor.

DUN itu masing-masing akan ditandingi penyandangnya, Pengerusi Gerakan Kedah Dr Cheah Soon Hai (Derga), AJK Pusat Lau Chin Hoon (Pemanis) dan Setiausaha Gerakan Johor Cheong Chin Liang (Bukit Batu).

Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Pemuda Datuk Lim Si Pin tidak disenarai sebagai calon parti itu pada pilihan raya kali ini.

Pada 2008, Dr Koh yang tewas pada pertandingan merebut kerusi Parlimen Batu Kawan kepada calon DAP, Dr P.Ramasamy dengan 9,485 undi majoriti manakala Lim pula tewas kepada Tian Chua.

Calon yang kalah di DUN Pulau Pinang seperti Naib Presiden Chia Kwang Chye dan Setiausaha Agung Teng Chang Yeow diberi peluang menebus kekalahan mereka di kawasan baharu, iaitu masing-masing di Tanjung Bunga dan Bukit Tengah.

Parti itu tumpas kesemua kerusi di Pulau Pinang pada PRU12.