Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pilihan raya umum ke-13 ini ialah masa terbaik untuk rakyat Kedah kembali kepada Barisan Nasional (BN) kerana lima tahun akan datang, Kedah akan dibawa sama dalam sebuah negara Malaysia yang berpendapatan tinggi di bawah BN.

Timbalan perdana menteri berkata Kedah tidak harus ketinggalan dalam usaha ini setelah kerajaan negeri PAS gagal melaksanakan tugas mereka sepanjang lima tahun untuk membangunkan Kedah.

Kalau ikut kad laporan, Kedah hanya layak mendapat gred E- kerana kerajaan negeri gagal membangunkan negeri ini, katanya selepas menyempurnakan majlis peletakan batu asas cadangan pembinaan Pusat Sukan Parlimen Jerlun di Sanglang dekat sini hari ini.

Beliau berkata selepas pakatan pembangkang gagal mentadbir negeri Kedah, rakyat perlu menukar kerajaan kepada BN untuk tempoh lima tahun akan datang kerana tempoh itu cukup penting bagi BN yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi termasuk Kedah.

Lima tahun bukan mudah, oleh itu kerajaan pakatan pembangkang yang tidak mampu membangunkan negeri ini, tidak wajar untuk dikekalkan, katanya.

Muhyiddin berkata selepas lima tahun sepatutnya sesebuah kerajaan dapat membentangkan kejayaan mereka menunaikan apa yang dijanjikan sewaktu mereka hendak mengambil alih kerajaan negeri.

" Sepatutnya janji dilaksanakan. Kerajaan negeri (Kedah) gagal. Ini bukan perkara remeh...kerana hendak membentuk kerajaan satu perkara serius, satu perkara besar. Rakyat perlu memilih parti yang dapat memikul amanah dan memenuhi hasrat rakyat untuk maju dan berjaya di masa hadapan," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata penting untuk rakyat terutama di Kedah membuat penilaian sama ada parti pembangkang berupaya dan mampu melaksanakan amanah dan menunaikan janji mereka, atau sebaliknya.

" Ini perkara paling penting kerana dalam soal demokrasi, nak pilih parti bagi bentuk kerajaan ialah yang boleh dipercayai, menunaikan amanah dan majukan diri kita, kampung kita dan negeri kita," katanya.

Jika dibandingkan BN dengan pakatan pembangkang, BN mampu meneruskan tradisi kecemerlangan rakyat dengan memberi keperluan dan kemudahan yang dikehendaki rakyat dan untuk hidup lebih baik.

" Menjelang 2020 Kedah juga akan jadi sebuah negeri maju dan berjaya. Yakinkah kalau PAS terus perintah (Kedah) dia dapat buat apa yang dicita-citakan. Ini soal masa depan. Lima tahun bukan tempoh mudah," katanya.

Beliau berkata semua ini boleh dicapai jika rakyat Malaysia dan Kedah membuat keputusan memilih calon BN dan kemudian dapat membentuk kerajaan negeri dan pusat.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Muhyiddin Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, calon bagi kerusi Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz dan calon kerusi DUN Kota Siputeh Datuk Abu Hasan Sarif.