Seramai 13 daripada 15 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah hari ini berhubung isu kedudukan menteri besar.

ADUN Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi dari Parti Amanah Negara (Amanah) berkata ketua pembangkang dan ADUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah (PAS) dan ADUN Bukit Selambau Dr R. Krishnamoorthy (PKR) tidak hadir kerana dipercayai berada di luar negara.

ADUN pembangkang itu terdiri lapan PAS, empat PKR, dua DAP dan satu Amanah.

BACA: Krisis MB Kedah: 17 ADUN BN adakan pertemuan tergempar

Phahrolrazi berkata semua ADUN dipanggil seorang demi seorang dan ditanya pendirian masing-masing dalam hal membabitkan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai menteri besar.

"Pendirian saya rahsia...itu masing-masing, tak boleh didedahkan. Sebab kita maklumkan secara rahsia kepada Jemaah Pemangku. Perjumpaan sekejap sahaja tak sampai lima minit," kata Phahrolrazi kepada pemberita selepas majlis menghadap itu di Wisma Darul Aman di sini.

BACA: Mukhriz sahkan tidak sertai pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah

ADUN Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa (PAS) pula berkata kesemua ADUN pembangkang telah mempunyai keputusan bersama sebelum ini, tetapi pada majlis hari ini seorang demi seorang mengadap.

"Masing-masing boleh nyatakan pendirian," katanya.

Terdahulu kenderaan yang membawa anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah tiba di Wisma Darul Aman pada pada 2.55 petang.

Pengerusi jemaah itu Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah tiba pada pukul 3 petang.

Para pemimpin UMNO Kedah diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan UMNO negeri.

Semalam 20 daripada 21 ADUN Barisan Nasional menghadap Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.

BACA: Krisis politik Kedah: 20 ADUN menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah

Mukhriz dilaporkan tidak terlibat dalam majlis tersebut.