SEREMBAN: Lima belas 'muka lama' kekal mengungguli Jawatankuasa Pemilihan DAP Negeri Sembilan bagi penggal 2021 hingga 2024.

Ia juga menyaksikan ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berjaya mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang dipegang beliau sejak 2004.

Keputusan itu diumumkan selepas perwakilan parti memilih bekas Menteri Pengangkutan itu melalui Konvensyen Biasa dan Pemilihan DAP Negeri Sembilan Penggal ke-19 di di sini dengan undian tertinggi iaitu sebanyak 501.

Sejumlah 593 undi sah diberikan kepada 44 calon yang bertanding dan hanya 15 calon yang mendapat undi tertinggi dipilih menduduki jawatankuasa negeri.

Selain Anthony, 12 jawatankuasa lain turut diberikan mandat oleh perwakilan untuk terus memegang jawatan masing-masing.

Bagi jawatan Timbalan Pengerusi dan Setiausaha ia masing-masing disandang oleh P Gunasekaran dan Cha Kee Chin.

Naib Pengerusi Negeri digalas oleh Teo Kok Seong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau dan Kesavadas A.Achyuthan Nair.

Manakala, exco kerajaan negeri merangkap Adun Nilai, Arul Kumar dilantik sebagai Setiausaha Organisasi DAP negeri.

Bagi jawatan Penolong Setiausaha dan Bendahari pula, ia disandang oleh Ho weng Wah dan Siau Meow Kong, sementara  Choo Kew Hwa sebagai Pengarah Pendidikan Politik Negeri.

Sementara itu, mereka yang kekal sebagai AJK ialah Tan Lee Koon; Veerapan Superamaniam (Adun Repah); Ng Chin Tsai; Mary Josephine Prittam Singh (Adun Rahang); dan Yap Yew Weng. 

Seramai 628 perwakilan hadir hari ini bagi membuat pemilihan jawatankuasa pimpinan negeri bagi penggal ke-19, yang merupakan jumlah perwakilan tertinggi yang pernah dicatatkan.

Pemilihan bagi peringkat negeri diadakan tiga tahun sekali.

Konvensyen biasa negeri yang pertama diadakan di Perak pada 14 Mac lalu diikuti Kedah pada 19 Mac, dan Pulau Pinang pada  21 Mac.

Sementara, Konvensyen Biasa DAP negeri Terengganu diadakan pada 26 Mac; Pahang (28 Mac); Kelantan (9 April); Melaka (18 April); manakala Kuala Lumpur (25 April).

Konvensyen di Sarawak pula dijadual pada 1 Mei sebelum diteruskan ke Johor pada 2 Mei; Wilayah Persekutuan Labuan (22 Mei), Sabah (23 Mei); Perlis (30 Mei) dan Selangor (5 Jun).

SENARAI PEMILIHAN JAWATANKUASA DAP NEGERI SEMBILAN 2021:

Pengerusi: Anthony Loke Siew Fook (Ahli Parlimen Seremban)

Timbalan Pengerusi: P Gunasekaran  (Adun Seremban Jaya)

Setiausaha: Cha Kee Chin (Ahli Parlimen Rasah)

Setiausaha Organisasi: Arul Kumar (Adun Nilai)

Naib Pengerusi Negeri: Teo Kok Seong (Adun Bahau)

Naib Pengerusi Negeri: Kesavadas A.Achyuthan Nair

Penolong Setiausaha Negeri: Lee Kai Yet

Bendahari Negeri: Siau Meow Kong

Penolong Setiausaha Organisasi: Ho Weng Wah

Setiausaha Publisiti: Chew Seh Yong

Pengarah Pendidikan Politik: Choo Ken Hwa

Ahli Jawatankuasa:

i. Tan Lee Koon

ii. Veerapan Superamaniam (ADUN Repah)

iii. Ng Chin Tsai

iv. Mary Josephine Prittam Singh (ADUN Rahang)

v. Yap Yew Weng