IPOH: Seramai 300 bekas ahli PKR Ipoh Barat yang keluar parti tahun lepas, menyuarakan hasrat akan menyertai Parti Gerakan Rakyat (Gerakan).

Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 50 borang keahlian yang lengkap telah diserahkan kepada pihaknya hari ini.

"Difahamkan, seramai 300 bekas ahli PKR dari Ipoh Barat akan menyertai Gerakan. Mereka sudah keluar dari parti itu sejak setahun lalu dan membuat keputusan untuk menyertai kami.

"Kami mengalu-mengalukan bukan sahaja dari PKR, tetapi semua parti yang berminat dengan misi dan hala tuju kami, kerana moto kami ialah 'satu hati'," katanya pada sidang media di Wisma Gerakan Ipoh, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, wakil bekas ahli PKR itu, Alfaizal Shahul Hamid, 44 tahun, berkata keputusan yang dibuat mereka itu adalah dengan rela hati dan tanpa sebarang tekanan mana-mana pihak.

"Saya menyertai PKR pada 2017. Selama empat tahun saya berada di parti itu, saya hanya nampak perebutan kuasa antara pemimpin. Mereka tidak mengendahkan masalah rakyat.

"Tambah lagi, apabila mereka menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Kami melihat perjuangan mereka hanya untuk diri sendiri, dan bukan untuk rakyat," katanya.

Turut hadir, beberapa bekas ahli PKR yang lain.

Ujar Alfaizal lagi, selepas melihat keadaan itu, dia bersama ahli yang lain akhirnya mengambil keputusan untuk keluar parti tahun lalu.

"Selama setahun saya hanya memerhati perkembangan politik semasa dan mendapati Gerakan banyak membantu rakyat apabila ancaman COVID-19 melanda negara kita.

"Pada pandangan saya, Gerakan lebih fokus kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

"Jadi, saya serta bekas ahli PKR Ipoh Barat yang lain mengambil keputusan menyertai parti ini dan meneruskan perjuangan politik demi kesejahteraan rakyat," jelasnya.