36 pusat mengundi PRK Kinabatangan, Lamag dibuka 7.30 pagi ini

-fotoBERNAMA
KINABATANGAN: Sebanyak 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dibuka serentak pada 7.30 pagi ini.
Ringkasan AI
- 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi dibuka serentak bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada 7.30 pagi.
- Proses pengundian melibatkan 48,282 pengundi untuk memilih wakil rakyat baharu, dengan penjumlahan rasmi undi dijangka pada 10 malam di Dewan Sri Lamag.
- PRK diadakan susulan kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin, dengan calon seperti Mohd Kurniawan Naim mewakili BN dan Mazliwati Abdul Malek dari Warisan bersaing.
Penjumlahan rasmi undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 10 malam.
Proses pengundian dikendalikan 1,106 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain 926 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan pada hari mengundi.
Pada Selasa lepas, SPR memaklumkan sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan yang berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Kesemua lima calon akan mengundi pada PRK berkenaan dengan Mohd Kurniawan Naim akan mengundi di SK Bilit, Saddi (SK Batu Puteh), Goldam (SK Pekan Tongod), Mohd Ismail (SK Bukit Garam II) dan Mazliwati di SK Buang Sayang.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya Mazliwati daripada Warisan.
Bung Moktar turut melakar kemenangan dalam saingan lima penjuru di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 29 Nov lepas dengan memperoleh majoriti 153 undi.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

