Pakatan Harapan (PH) Selangor akan merujuk kepada kepimpinan pusat gabungan itu terlebih dahulu sama ada akan menerima sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu terhadap pentadbiran kerajaan negeri berkenaan.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya telah menerima akuan bersumpah (SD) sokongan empat ADUN tersebut baru-baru ini namun keputusan sama ada mereka akan 'dilayan' sebagai sebahagian pentadbiran negeri akan dibuat oleh kepimpinan pusat pakatan tersebut.

"Setakat ini, saya sudah merujuk (isu sokongan ADUN Bersatu) kepada Majlis Pimpinan PH Negeri dan akan rujuk pula kepada kepimpinan PH pusat.

"Ini bagi mendapatkan penjelasan dan kelulusan sama ada saya dibenarkan atau tidak untuk menerima mereka sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri atau terus 'melayan' mereka sebagai pembangkang," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.

Ditanya sama ada empat ADUN Bersatu terbabit turut menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Menteri Besar Selangor itu menyatakan kesemuanya masih dalam parti yang dianggotai mereka kini.

Susulan Bersatu mengumumkan keluar daripada gabungan PH baru-baru ini, empat ADUN Selangor kekal berpendirian untuk terus menyokong kerajaan negeri yang ditadbir pakatan tersebut.

-- BERNAMA