KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghargai keputusan Pakatan Harapan (PH) yang tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan itu memberi isyarat bahawa GPS ialah wadah yang tepat dan berupaya mempertahankan hak rakyat Sarawak.

"Insya-Allah GPS akan bertahan. Saya ucap terima kasih kepada PH yang tidak letak calonnya ... yang letak calon (di Jepak) parti 'semut' sahaja.

"Kita tak cakap kita kuat tetapi kita faham Sarawak hanya boleh diuruskan oleh anak Sarawak sendiri dan saya harap bahawa masa depan kita cerah sekiranya boleh mempertahankan sistem politik di Sarawak sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Townhall Bersama Premier Sarawak yang diadakan semasa program Lan Berambeh Anak Sarawak 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

PRK Jepak akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Calon GPS Iskandar Turkee, 54, akan dicabar calon PBK Stevenson Joseph Sumbang, 42, dan calon Aspirasi Chieng Lea Phing, 64, dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN itu, Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.

Ketika ditanya berhubung kekurangan guru di Sarawak, Abang Johari berkata kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengatasi perkara itu.

"Kita beri perhatian untuk anak Sarawak sendiri yang boleh dilatih menjadi guru dan mengajar di sekolah kita. Ini sedang kita laksana di Swinburne University of Technology untuk melatih guru kita yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan," katanya.

Pada sesi town hall atau dialog awam itu, Abang Johari berkata Sarawak sedang giat melaksanakan persiapan sekiranya Bumi Kenyalang dipilih menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA 2027.

Beliau berkata persiapan itu termasuk membina dan menaik taraf fasiliti sukan di negeri itu bagi memastikan acara berkenaan dapat berlangsung dengan jayanya dan bertaraf antarabangsa.

"Kita diminta bersedia mungkin 2027 kita telah 'ditunangkan' oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk jadi tuan rumah Sukan SEA, jadi sekarang kita sediakan kemudahan untuk memberi tempat sukan yang bertaraf antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA