Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam satu siaran langsung dalam Facebooknya menjelaskan bahawa pertemuan beliau bersama Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob pada petang Isnin meminta agar Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu dibubarkan sekali gus bakal menyaksikan Pilihan Raya Negeri berlaku.

Menurut Adly, hasrat itu dipersembahkan kepada Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri di sini jam 4.30 petang tadi.

"Hari ini, 2 Mac, jam 4.30 petang saya telah bertemu Tuan Yang Terutama Yang DipertuaTun Mohd Khalil Yaakob, saya telah menyampaikan hasrat saya sebagai Ketua Menteri di bawah Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka.

"Di mana seorang Ketua Menteri boleh dicadangkan kepada TYT bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri, saya telah memberikan hujah saya kerana bagi saya, negeri ini tidak boleh ditentukan oleh empat orang wakil rakyat, tetapi negeri ini mesti dipulang kepada mandat rakyat negeri Melaka," katanya ketika membuat sidang media pada petang Isnin.

Bagaimanapun, sehingga kini Astro AWANI cuba mendapatkan reaksi daripada pihak Tuan Yang Terutama (TYT) berhubung cadangan itu.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang media disini menyatakan bahawa gabungan Perikatan Nasional telah berjaya mendapat 17 kerusi Dewan Undangan Negeri sekaligus boleh membentuk kerajaan.

Jelasnya, perakuan bersumpah (SD) itu dikemukakan kepada Tun Mohd Khalil Yaakob dalam pertemuan di Kompleks Seri Negeri tengahari tadi.

BACA: Pakatan Harapan tumbang di Melaka, Perikatan Nasional tubuh kerajaan