GUA MUSANG: Keputusan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dipersetujui dan dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam rundingan yang dilakukan antara PH dan BN tentunya menyantuni parti-parti komponen yang ada.

“BN buat demikian, begitu juga parti-parti komponen yang ada di dalam PH sudah tentunya melakukan rundingan bersama mereka.

“Prinsip yang kami lakukan ialah perundingan tidak secara langsung dengan parti-parti komponen tetapi keputusan muktamad terhadap agihan mana-mana kerusi yang dipertandingkan itu diputuskan oleh pengerusi PH dan pengerusi BN serta sudah dipersetujui,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Silaturahim bersama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Kelantan di Kesedar, di sini, pada Ahad.

Menurutnya, PH dan BN tetap memberi peluang kepada parti komponen untuk bertanding pada PRN tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN-PH pada PRN enam negeri tersebut menampilkan calon-calon muka baharu, mereka yang menyandang kerusi dan selebihnya terdiri daripada tokoh-tokoh.

“Ertinya kami mempunyai hampir dua pertiga daripada calon-calon Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdiri daripada muka-muka baharu.

“Sebanyak 85 peratus calon-calon pula terdiri daripada mereka yang mempunyai keputusan akademik tinggi dan kelulusan profesional,” ujarnya.

Sebelum itu, Amanah dilaporkan terkejut dengan pengumuman BN bagi calon kerusi DUN Tepuh pada Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia kerana Mesyuarat Sekretariat Perpaduan Terengganu sebelum ini telah bersetuju memberikan kerusi itu kepada Amanah. - Sinar Harian