KUALA LUMPUR: Pengalaman yang diperoleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seharusnya telah mematangkan parti bagi menghadapi PRU15, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, katanya, ahli dan penyokong tidak sepatutnya "kecundang" lagi dengan muslihat parti lawan.

"Saudara-saudari ahli serta penyokong UMNO dan BN sekalian, kita perlu mengakui segelintir kita turut terperangkap dengan helah dan tipu daya politik PRU14.

"Cukuplah apa yang sudah kita lalui sejak 9 Mei 2018. Sejarah mendewasakan.

"Pengalaman sepatutnya mematangkan," kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dalam hantaran menerusi saluran Telegram rasminya.

Beliau juga percaya sebahagian rakyat yang pernah menolak parti berkenaan pada PRU14 telah mula sedar.

"Kini peranan kita ialah berlapang dada... sedangkan lidah lagi tergigit.

"Hulurkan tangan kepada mereka, kembali berpadu atas nama kebenaran," katanya.

-- BERNAMA