HULU TERENGGANU: Ahli politik Melayu perlu henti berbalah sebaliknya fokus ke arah memperkukuhkan agenda ekonomi bangsa dan kebajikan ummah.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Rosol Wahid berkata perbalahan hanya akan merugikan serta melemahkan bangsa itu sendiri.

"Pada pandangan saya, kita kembali kepada memperkasa bangsa, memperkasa agama. Sekarang ini, Pas, Bersatu, UMNO, semua orang Melayu belaka.

"Jadi, kalau kita berbalah pasal (isu) titik bengik, berbalah pasal berebut kerusi, berbalah sebab kita nak jadi wakil rakyat, saya rasa itu perkara remeh.

"Matlamat utama kita ialah perpaduan ummah. Kerana, kalau kita berpadu, kita yakin kita mampu meraih lebih 23 kerusi Parlimen.

"Kalau kita ramai, tetapi berpecah, saya yakin kita akan kalah. Kita, orang Melayu Islam, akan kalah sebab kita berpecah banyak.

"Kalau kita berpadu, kita bersatu, senang saja kita boleh menang. Jadi, terbuka pilihan itu kepada kita," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek ternakan kelulut usahawan Agropreneur Muda Jabatan Pertanian Terengganu di Kampung Machang, Kuala Berang. 

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, masyarakat sentiasa mengharapkan agar pemimpin dan parti politik di negara ini berusaha mewujudkan perpaduan dan kestabilan ekonomi  untuk kesejahteraan rakyat.

Baru-baru ini, Naib Presiden Pas Idris Ahmad berkata, parti itu kekal dengan pendirian untuk menjadi penyatu kepada UMNO dan Bersatu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Katanya, Pas menolak sebarang perpecahan dalam muafakat, sekali gus teguh mempertahankan Perikatan Nasional di samping mengukuhkan Muafakat Nasional.