Baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 hari ini, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sudah mula membuat perancangan untuk pembangunan negeri ini.

Ahmad Bashah, yang hanya akan memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Ahad ini susulan Jumaat dan Sabtu merupakan cuti hujung minggu di Kedah, berkata beliau akan mengutarakan beberapa isu berkaitan pembangunan di negeri ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kebetulan beliau datang sini esok, saya ada masa sehari dengan beliau. Banyak perkara yang saya boleh bawa kepada Perdana Menteri," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bangunan Tunku, di sini hari ini.

Najib akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Kedah esok dan antara program beliau adalah merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Paya Besar, Lunas dan merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Sungai Petani.

Ahmad Bashah berkata sebagai kerajaan negeri daripada parti yang sama dengan kerajaan Persekutuan iaitu Barisan Nasional (BN), beliau akan memastikan segala perancangan di negeri ini adalah selari dengan kerajaan Persekutuan.

"Apa yang berlaku perlu bersama kerajaan Persekutuan ...tak boleh lari dari itu. Jangan ada perbezaan, apa yang kita nak buat, mesti maklum dan mestiselari dengan di pusat. Penghujungnya kita nak bantuan pusat," katanya.

Menyedari Kedah dikenali sebagai negeri pertanian yang dikaitkan dengan kemiskinan, Ahmad Bashah berkata beliau akan melihat kepada keperluan di negeri ini dalam merancang soal pembangunan.

"Kalau kita nak pertahankan pertanian 100 peratus, kita akan ketinggalan. Kita nak lihat soal pembangunan, kita kena imbangkan. Industri mampu beri peluang pekerjaan tetapi kita adalah negeri pertanian," katanya.

Ahmad Bashah, 66, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 di Istana Anak Bukit di sini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang meletakkan jawatan semalam berikutan hilang sokongan majoriti wakil rakyat di negeri ini.