Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sah menjadi Presiden UMNO yang baharu bagi penggal 2018-2021 dalam sesi pemilihan parti itu pada Sabtu.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendapat undi tertinggi daripada kesemua bahagian dari seluruh negara yang layak mengundi.

Ahmad Zahid mendapat 78 undi setakat ini manakala calon yang lain iaitu Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah masing-masing mendapat 53 dan 28 undi setakat 12.30 tengah malam Ahad.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan terpilih untuk menyandang jawatan Timbalan Presiden UMNO apabila mendapat 110 undi.

Beliau menewaskan pesaingnya, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang mendapat 47 undi.

Selain itu, Tengku Adnan turut mengumumkan dua daripada tiga Naib Presiden UMNO yang baharu iaitu Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mereka masing-masing mendapat 146 dan 99 undi.

Naib Presiden ketiga tidak dapat diketahui setakat ini memandangkan masih ada 34 bahagian yang belum menghantar keputusan kepada Ibu Pejabat UMNO.

Menurut Tengku Adnan, keputusan penuh bagi Pemilihan UMNO 2018 akan diumumkan esok melalui satu kenyataan.

Apabila ditanya siapakah yang masih dalam saingan untuk Naib Presiden, Tengku Adnan menjawab ia adalah diantara bekas Mentri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.