KEMAMAN: Memasuki hari kelapan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, kem Barisan Nasional (BN) dikejutkan dengan kemunculan akaun media sosial palsu calonnya.

Akaun palsu itu menggunakan nama Raja Affandi sedangkan akaun rasmi calon BN menggunakan nama Raja Mohamed Affandi.

Calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor percaya, ia mungkin tindak balas yang dilakukan oleh musuh yang cuba menyerangnya.

Justeru, beliau tampil memaklumkan tentang kewujudan akaun palsu berkenaan dan turut melampirkan pautan kepada akaun media sosial rasminya.

"Pagi ini saya dikejutkan dengan akaun FB (Facebook) menggunakan nama dan gambar saya. Dalam peperangan pelbagai sudut, macam-macam cara musuh untuk menyerang.

"Dengan ini saya menafikan akaun ini adalah rasmi daripada saya. Sila ke Page Raja Mohamed Affandi untuk mengetahui perkembangan saya sepanjang tempoh berkempen ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu BN dan Pas.

BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Pas. - Sinar Harian