KLANG: Parti Amanah Negara (Amanah) perlu menjadi benteng utama dalam melawan pemikiran ekstremis yang dibawa sesetengah parti politik sebagai alat untuk menggugat kestabilan dan keharmonian di negara ini.

Wakil Amanah Selangor Abbas Salimmi Che Azmi berkata pemikiran seumpama itu boleh meracun dan merosakkan fahaman rakyat sehingga memberi kesan kepada usaha dan kebaikan yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.

"Amanah mesti menjuarai isu dan menjadi benteng utama memastikan pemikiran ekstremis dan memerangi pemikiran 'politik hulu' kerana selagi ada pemikiran ini susah negara untuk maju sedangkan kita ada dasar baik dan idea yang sangat hebat," katanya ketika membahaskan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Amanah Kawasan Padang Besar Kapt (B) Mohamad Saad @ Yahaya dalam perbahasannya menyeru supaya parti berkenaan menguasai media sosial agar dapat memperbetul segala pembohongan yang dibawa oleh parti pembangkang.

Naib Ketua Pemuda Amanah Muhammad Faris Ariffin pula mahu ahli akar umbi berusaha bersama-sama mempromosikan parti dan mengangkat nama Amanah agar setaraf dengan parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

"Kita jangan tanya apa yang parti boleh buat untuk kita, sebaliknya kita harus tanya diri sendiri apa yang kita boleh buat untuk parti bagi memastikan mesej yang dibawa oleh Amanah iaitu Rahmatan Lil Alamin ini dapat disampaikan kepada umum dan menarik lebih ramai bersama Amanah untuk beraksi di landasan yang betul," katanya.

Sebanyak kira-kira 1,000 perwakilan dari seluruh negara hadir pada konvensyen yang bertemakan "Mengangkat Agenda Perpaduan" itu.

-- BERNAMA