Pemimpin UMNO digesa untuk tidak melupakan pengundi bukan Melayu kerana parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu sentiasa mendapat sokongan mereka dalam pilihan raya umum selama ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO masih memerlukan sokongan mereka untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) nanti.

"UMNO sebagai tulang belakang BN mesti ambil peduli kepentingan orang bukan Melayu untuk membantu kemenangan BN selain deposit sokongan orang Melayu.

"Kehebatan seseorang pemimpin disebabkan faktor dokongan orang bawah termasuk pemimpin di peringkat akar umbi. Jangan jadi pemimpin bermusim," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar, di sini, hari ini.

Beliau yang turut menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO turut menegaskan bahawa kemenangan BN di Sabah dan Sarawak selama ini juga adalah kerana sokongan dan dukungan bukan Bumiputera selain sokongan padu daripada golongan bumiputera.

Justeru, beliau mahu semua pemimpin UMNO terutamanya perlu dilihat sebagai pemimpin yang adil agar pengundi dan rakyat terus menyokong BN.