KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menyatakan secara khusus kesalahan yang didakwa dilakukan kerajaan terdahulu sehingga mencetuskan kemelut adat dan institusi Raja di negeri itu.
Menerusi hantaran Facebook pada Jumaat, Aminuddin berkata, rakyat berhak mengetahui tindakan yang didakwa gagal beliau lakukan ketika menjadi Menteri Besar, peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang didakwa dilanggar serta masa pelanggaran itu berlaku.
“Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya. Jika ada pelanggaran undang-undang, nyatakan peruntukannya,” katanya.
Aminuddin turut mendedahkan bahawa dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 pernah dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani pada 20 April, ketika beliau masih menjadi Menteri Besar.
Bagaimanapun, Aminuddin berkata, beliau enggan menandatanganinya kerana terdapat persoalan mengenai proses dan kesahihan dokumen itu di bawah Perkara 10 undang-undang tubuh negeri.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan bagaimana tandatangan Ismail berada pada dokumen berkenaan selepas mengambil alih jawatan Menteri Besar, sebelum Ismail mendakwa dirinya dipaksa menandatanganinya.
Ismail sebelum ini mengakui menandatangani surat cara proklamasi itu, namun mendakwa, ia dilakukan tanpa kerelaannya. Beliau turut membuat laporan polis bagi membolehkan dakwaan paksaan tersebut disiasat.
Aminuddin berkata, siasatan perlu diberi ruang untuk menentukan fakta sebenar. Pada masa sama, beliau menegaskan penjelasan kepada rakyat mengenai isu yang melibatkan institusi Yang di-Pertuan Besar mesti berpandukan dokumen, kronologi dan peruntukan undang-undang.
Kenyataan Aminuddin itu menyusul selepas Ismail pada Khamis mendakwa kemelut berkenaan diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.