Skip to main content

Politik

AMK bidas retorik agama pihak lawan, dedah fakta cabutan judi

MELAKA, 14 Ogos -- Ketua Angkatan Muda Keadilan, Kamil Munim bercakap pada sidang media ketika Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, isu perundangan serta aktiviti perjudian kerap dijadikan modal politik murah oleh kelompok tertentu bagi menggambarkan kononnya merekalah pejuang tunggal agenda Islam, sedangkan rekod pentadbiran lalu membuktikan sebaliknya. - Foto BERNAMA
Advertisement

AYER KEROH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengingatkan seluruh jentera dan ahlinya agar tidak terperangkap dalam jerat manipulasi sentimen emosi serta agama yang sering dimainkan pihak lawan, sebaliknya tampil menepis dakyah berkenaan berpandukan fakta dan data yang sahih.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, isu perundangan serta aktiviti perjudian kerap dijadikan modal politik murah oleh kelompok tertentu bagi menggambarkan kononnya merekalah pejuang tunggal agenda Islam, sedangkan rekod pentadbiran lalu membuktikan sebaliknya.

Menyelar apa yang disifatkannya sebagai hipokrasi politik, beliau mendedahkan bagaimana jumlah cabutan khas nombor ramalan melonjak daripada lapan kepada 22 kali setahun ketika era pemerintahan pihak yang mendakwa memperjuangkan agenda Melayu-Islam, sebelum ia dipotong semula kepada lapan kali di bawah Kerajaan MADANI.

"Apakah kita lupa cabutan khas daripada 8 naik ke 22? Itu adalah ketika mana parti-parti yang sebut tentang soal Melayu-Islam ini sedang memimpin kerajaan dan berada pada tampuk kekuasaan!

"Jadi hipokrasi apakah ini?! Bila masuk Kerajaan MADANI, daripada 22 cabutan khas itu, kita kembalikan semula kepada lapan (kali). Tugas kita adalah menyelit dan memintas pada ruang itu untuk memberi kefahaman supaya rakyat tidak terikut permainan emosi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional AMK, di MITC, Melaka, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil mengimbau kembali ketaksuban manipulasi sentimen yang pernah digunakan dalam perdebatan Rang Undang-Undang (RUU) 355 suatu ketika dahulu, sehingga mencetuskan politik kebencian dan hukum-menghukum yang melampau terhadap pemimpin yang tidak sehaluan.

Beliau menegaskan, politik Islam yang dibawa oleh gerakan Reformasi seharusnya mempamerkan rahmah dan mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW yang mendapat pengiktirafan Al-Amin daripada masyarakat jahiliah Mekah kerana ketinggian budi pekerti serta kepimpinan melalui teladan.

"Nabi SAW diberi gelaran Al-Amin oleh orang musyrik Mekah bukan kerana baginda rajin menghukum orang, tetapi kerana mempamerkan akhlak, kepimpinan, dan sikap yang baik. Baginda tak pernah caci atau hina orang.

"Inilah Islam yang dimaknai dengan penghayatan, ilmu, dan kesedaran. Barulah kita boleh menjelmakan sebuah masyarakat yang terangkum serta memiliki keperibadian dan sahsiah terpuji," jelas beliau lagi.

Dalam pada itu Muhammad Kamil menegas komitmen AMK untuk melahirkan barisan kepimpinan wanita yang berwibawa dan kompeten, melangkaui batas kuota 30 peratus semata-mata.

Beliau berkata, keupayaan melahirkan pemimpin wanita yang berdaya saing, bermentaliti kukuh, dan berintegriti akan membuka ruang lebih luas untuk golongan itu memimpin di semua peringkat.

Jelas beliau, PKR mempunyai rekod sejarah yang kukuh dalam mengiktiraf peranan wanita dalam arena politik tanah air sejak awal penubuhannya.

"AMK ada kuota 30%, tapi saya kata saya tidak perlukan sekadar 30%. Kalau kita ada barisan kepimpinan muda yang berkaliber, reliable (boleh dipercayai), ada kompetensi dan stature (perawakan) yang baik, kita akan perjuangkan untuk semua, bukan untuk 30% sahaja.

"Jangan lupa, kitalah parti pertama yang menobatkan seorang wanita sebagai Ketua Pembangkang dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri wanita pertama dalam sejarah negara," katanya pada sesi penggulungan Kongres Nasional AMK.

Must Watch Video

Advertisement