KELIBAT beberapa Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Wawasan Negara, sebuah parti baharu pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kelihatan di bangunan Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, pada Selasa.
Kehadiran mereka menjadi tumpuan di saat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid dan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bakal mengumumkan keseluruhan 56 calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada sebelah petang atau malam.
Perkembangan terbaharu di Johor memberikan petunjuk bahawa pilihan raya negeri kali ini mungkin tidak sekadar pertandingan antara gabungan politik yang sedia ada, tetapi sedang menuju ke arah penjajaran semula yang lebih kompleks dan tidak rasmi.
Kehadiran tokoh Parti Wawasan Negara yang dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN) di dalam premis UMNO Johor hari ini membuka persoalan lebih besar tentang kemungkinan pembentukan struktur pertandingan yang tidak lagi mengikut sempadan tradisi antara parti.
Difahamkan, ketika ini, beberapa individu telah selesai mengangkat sumpah dan menandatangani watikah dan diberikan sepersalinan baju rasmi calon BN, di hadapan Ahmad Zahid dan Onn.
Isyarat awal kepada penyusunan semula pilihan raya
Jika difahami 'isyarat' ini dalam konteks perkembangan semasa, pergerakan ini selari dengan tanda-tanda awal kerjasama taktikal antara UMNO dan Pas di beberapa kawasan.
Kemunculan individu atau entiti berkaitan PN dalam ruang yang secara tradisinya dikaitkan dengan BN, boleh memberikan gambaran bahawa terdapat usaha ke arah mengurangkan pertembungan sesama parti Melayu dalam menghadapi pilihan raya edisi ini.
“Politik sekarang sangat dinamik. Oeh kerana itu, kita perlu melihat tindakan-tindakan kepimpinan untuk tidak mahu bertembung dengan mana-mana parti. Keep the option open," menurut seorang pemerhati politik kepada pemimpin kanan BN, baru-baru ini.
“Bila datang PRN macam ini, sebagai sebuah parti, kita akan melihat pilihan mana yang terbaik, yang boleh memastikan kemenangan."
“Harus diingati, sasaran kita bukan sekadar untuk pertahankan 40 kerusi. Langsung tak boleh selesa dengan angka itu. Kita harus usaha lebih daripada itu,” tambahnya.
Sekiranya benar, ini akan mengubah secara mendasar cara pertandingan berlangsung, khususnya di kerusi majoriti Melayu, dan seterusnya mengubah corak perlawanan di PRN Negeri Sembilan, PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum.
Watikah sebagai pusat kuasa sebenar
Dalam struktur pilihan raya, watikah calon bukan sekadar dokumen pencalonan, tetapi simbol autoriti dan kawalan terhadap siapa yang dibenarkan bertanding dan di bawah panji mana.
Peranan ini dilihat tertumpu kepada kepimpinan tertinggi UMNO, sekali gus menjadikan proses pengeluaran watikah sebagai titik kritikal dalam memahami siapa sebenarnya mengawal struktur pertandingan.
Sekiranya terdapat sebarang bentuk penyelarasan rentas parti dalam pemberian watikah atau pengiktirafan calon, ia memberi isyarat bahawa pertandingan di lapangan mungkin lebih tersusun daripada yang dilihat secara rasmi.
Kesan kepada peta persaingan
Sekiranya penjajaran tidak rasmi ini benar-benar berlaku, antara impak awal ialah pertembungan tiga penjuru di kerusi Melayu boleh berkurangan; laluan untuk BN menjadi lebih luas; manakala ruang untuk PN mengeksploitasi perpecahan menjadi lebih sempit
Ini sekali gus mengukuhkan kelebihan struktur BN yang telah meningkat sejak awal kempen.
Ujian kepada persepsi pengundi?
Namun, tidak dapat dinafikan langkah itu datang dengan risiko.
Di kawasan bandar dan dalam kalangan pengundi muda, sebarang bentuk penjajaran yang dilihat terlalu tersusun boleh mencetuskan persoalan tentang ketulenan pertandingan dan autonomi politik.
Ini penting kerana beberapa kawasan seperti Tebrau, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang kekal sebagai medan penentu utama.
Apa yang berlaku di Johor hari ini mungkin bukan sekadar pergerakan individu, tetapi petunjuk awal bahawa struktur pilihan raya itu sendiri sedang berubah.
Persoalan utama kini bukan lagi siapa bertanding di mana, tetapi sejauh mana penjajaran di balik tabir akan menentukan bentuk pertandingan yang sebenar.
Astro AWANI akan terus membawa perkembangan berkenaan Pilihan Raya Negeri Johor dari semasa ke semasa.