KUALA LUMPUR: Selepas enam bulan dipecat daripada UMNO, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan beliau sudah membuat permohonan untuk menyertai PAS.

Menurut Annuar, tempoh enam bulan tidak berparti itu digunakannya untuk berfikir secara mendalam memerhatikan arus dan pola politik negara tanpa dipengaruhi emosi dan sentimen.

Beliau turut mendakwa, selain beliau, 10,000 lagi individu turut mengisi permohonan untuk menyertai parti itu.

"Saya ingin menjelaskan kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan saya antara 10 individu yang telah mengisi borang membuat permohonan untuk menyertai parti PAS.

"Saya nak membuat pembetulan kepada kenyataan tersebut, kenyataan itu menyebut saya dan 10 orang, sebenarnya bukan 10 tetapi lebih daripada 1,000 orang bersama-sama saya. Keputusan ini dibuat selepas saya berfikir secara mendalam, mengelakkan emosi, mengelakkan marah, mengelakkan sebarang dendam, mengelakkan sebarang tindakan berasaskan sentimen.

"Akhirnya, ketika berada di Tanah Suci baru-baru ini, baru saya dapat membuat keputusan berkenaan tetapi terpulang kepada pihak Pas mahu menerima atau tidak," katanya pada Majlis Aidilfitri Muafakat Nasional (MN) di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh menegaskan beliau sesekali tidak akan merayu atau berpatah balik untuk kembali kepada UMNO.

Melihat pada rekod prestasi parti yang ada, beliau berkata, UMNO rosak secara total daripada asas perjuangannya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai 'nasib' Muafakat Nasional (MN) yang diterajuinya, Annuar menjelaskan, kerjasama antara UMNO dan PAS sejak tahun 2019 itu akan diteruskan.

Annuar yang juga Pengerusi MN itu berkata, gagasan yang bergerak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu terbuka kepada semua, termasuk mereka yang tidak menjadi ahli mana-mana parti dan juga UMNO.

"Muafakat Nasional tidak melawan atau memusuhi sesiapa, sementara saya memilih berada dalam parti, aktiviti kepartian akan berjalan seperti biasa, no issue," ujarnya.